PUTRAJAYA: Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan bakal menjalankan penyiasatan lanjut nahas melibatkan sebuah helikopter di Subang, Selangor.
Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), proses siasatan terperinci akan dibuat berdasarkan Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
“CAAM mengesahkan satu kemalangan membabitkan helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pukul 9.25 pagi hari ini,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.
Pesawat jenis Airbus model AS350 B3 itu jelas CAAM, dikendalikan firma Leopad Aviation Sdn. Bhd. dengan dikemudikan oleh seorang juruterbang dan dinaiki empat penumpang lain.
Ia berlepas dari Sungai Lembing, Pahang pukul 8.30 pagi tadi dalam penerbangan ke Subang melalui Maran, Temerloh dan Karak di Pahang sebelum terbang di Batu Caves, Selangor.
“Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima bantuan perubatan sementara baki tiga lagi mangsa berada dalam keadaan stabil,” tambah kenyataan CAAM.
Ini merupakan nahas helikopter kedua di negara ini tahun ini selepas 1 Januari lalu melibatkan pesawat jenis Robinson R66 milik My Heli Club di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.
Dalam kemalangan tersebut, seorang juruterbang dan pembantunya warga tempatan hanya mengalami kecederaan ketika latihan penerbangan setelah mereka berlepas dari Subang. – UTUSAN ONLINE