ALOR SETAR: Seramai 73,198 murid prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di negeri ini semalam.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rozaini Ahmad berkata, pecahan itu melibatkan 12,683 murid prasekolah, 30,339 murid Tahun 1 dan 30,176 murid Tahun 2.
Sementara itu, tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kubang Pasu, dekat sini mendapati, murid-murid Tahun 1 dan Tahun 2 teruja apabila mereka disambut adiwira Avengers, Ironman pada hari pertama sesi persekolahan.
Kehadiran adiwira itu adalah sebahagian program Seronoknya Mai Sekolah sebagai inisiatif guru bagi mengurangkan rasa gugup murid baharu.
Guru Besar SK Dato’ Kemara, Wan Ke Mohd. Nizam Saidin berkata, program tersebut berjaya apabila murid-murid gembira dan ceria memulakan sesi persekolahan.
“Sejak pukul 7.30 pagi, kami lihat murid-murid teruja apabila dapat bersua dengan Ironman yang menyambut ketibaan mereka di sekolah.
“Pihak sekolah juga memberi hadiah buku nota supaya mereka lebih rasa semangat dan dihargai,” katanya.
Menurutnya, seramai 199 murid Tahun 1, 203 murid Tahun 2 dan 50 murid pra sekolah serta 12 murid pendidikan khas memulakan sesi persekolahan, semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa sekolah di negeri ini juga mendapati pengurusan sekolah memberi keutamaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). – UTUSAN