Melaka rangka pakej bercuti ke Terengganu  - Utusan Malaysia

Melaka rangka pakej bercuti ke Terengganu 

MUHAMMAD Jailani Khamis mengumumkan Pakej Pelancongan Garam Di Laut, Asam Di darat Melaka-Terengganu di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, Melaka hari ini. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rakyat negeri ini bakal menikmati pakej pelancongan istimewa ke Terengganu yang sedang diusahakan kerajaan melalui kerjasama dua hala di bawah program Pakej Pelancongan Garam Di Laut, Asam Di darat Melaka-Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, wakil daripada Bahagian Promosi Pelancongan Melaka telah bertolak ke Terengganu hari ini bagi mengadakan lawatan kerja dan perbincangan bersama kerajaan negeri itu. 

Beliau berkata, setakat ini Melaka menyasarkan untuk mengadakan pakej ke pulau-pulau menarik di negeri itu termasuk Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Redang. 

“Bagi mengeratkan hubungan kerjasama di antara negeri Melaka dan Terengganu, kita akan memperkenalkan Pakej Pelancongan Garam Di Laut, Asam Di darat Melaka-Terengganu bagi menarik lebih ramai pelancong dari kedua-dua negeri ini. 

“Bagaimanapun lokasi dan aktiviti-aktiviti yang disediakan dalam pakej itu masih lagi dalam peringkat perbincangan kedua-dua pihak dan dijangka diputuskan pada Khamis ini, insya-Allah. Namun, kita fokus untuk menyediakan pakej di pantai-pantai menarik di sana,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha dua hala itu juga merupakan kolaborasi yang baik memandangkan Melaka dan Terengganu juga mempunyai khazanah hidupan laut yang sama iaitu penyu karah di Melaka, manakala negeri pantai Timur itu terkenal dengan penyu Belimbing. 

Ujarnya, tahun lalu, Melaka telah menerima kehadiran seramai 264,105 pelancong dari Terengganu, iaitu negeri kelapan tertinggi yang direkodkan. 

“Usaha ini juga bertepatan dengan seruan kerajaan persekutuan menyokong usaha melaksanakan gelembung perjalanan di antara negeri-negeri di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk merancakkan semula industri pelancongan. 

“Untuk pakej ke Terengganu ini, kita akan menggunakan perkhidmatan ejen kembara pelancongan dan premis penginapan pelancong yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” jelasnya. 

Dalam perkembangan lain, Muhammad Jailani memberitahu, Menara Taming Sari di Banda Hilir dijangka beroperasi semula pada 10 April ini. 

Ujarnya, menara tersebut yang sebelum ini merekodkan jumlah kedatangan 1.3 juta pelancong terpaksa dihentikan operasinya sejak Disember lalu bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya