KUALA LUMPUR: Operasi mengeluarkan mayat mangsa terakhir di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang diketuai oleh pasukan Bomba Kuala Lumpur bersama-sama agensi menyelamat yang lain selesai awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, mayat seorang pekerja warga China yang tersepit selama dua hari di antara rencah besi dan komponen kren gantri berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 3.45 pagi tadi.
Katanya, operasi ini dilaksanakan dengan teliti oleh pasukannya selain mengambil langkah-langkah keselamatan dan pelbagai faktor untuk mengeluarkan mangsa terutamanya faktor keselamatan.
“Keadaan rencah besi yang tidak stabil menyebabkan kesukaran dan mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan mangsa.
“Setelah pihak kontraktor dapat menstabilkan rencah berkenaan, barulah pasukan bomba mendapat sedikit ruang untuk mengeluarkan mangsa daripada celahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isnin lepas, kejadian struktur kren tumbang di tapak pembinaan di Persiaran Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur, membabitkan lima pekerja asing dan seorang lelaki warga tempatan.
Kejadian menyebabkan tiga pekerja asing maut, dua yang lain selamat serta seorang lelaki warga tempatan cedera parah ketika sedang memandu keretanya di bawah tak pembinaan itu..
Nordin berkata, pasukannya membawa turun mangsa di zon selamat dan melakukan kerja-kerja pembasmian kuman. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
“Identiti tiga mangsa warga China yang maut adalah Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng, manakala warga tempatan adalah Low Zy Jing, 33,” katanya. – UTUSAN ONLINE