Maskot Pinkfong daya tarikan hari pertama - Utusan Malaysia

Maskot Pinkfong daya tarikan hari pertama

MASKOT Pinkfong menyambut kedatangan murid-murid pada hari pertama sesi persekolahan 2021 secara bersemuka di SK (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Murid-murid Tahun 1 dan 2 serta prasekolah di Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim, di sini menjejakkan kaki ke sekolah semalam dengan gembira apabila disambut maskot watak kartun Pinkfong.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekolah tersebut mendapati, ibu bapa menghantar anak-anak mereka seawal pukul 6.30 pagi dalam keadaan yang terkawal dan teratur.

Maskot Pinkfong digunakan pihak sekolah bagi menyambut kehadiran seramai 25 murid pra sekolah, 158 murid Tahun 1 dan 156 murid Tahun 2 untuk menarik minat dan menimbulkan ke­terujaan mereka ke sekolah.

Seorang bapa, Dr. Mohammed Izuan Zabid, 43, berkata, anak kembar perempuannya teruja untuk melangkah ke alam persekolahan dan mengenakan pakaian sekolah buat pertama kali.

Katanya, persiapan persekolahan Nur Suraya dan Nur Sarah masing-masing berusia tujuh tahun menjadi lebih mudah de­ngan bantuan cikgu sekolah yang sentiasa mengemas kini maklumat tentang apa yang perlu disediakan pada hari pertama ini.

“Anak-anak cukup teruja setelah dapat tahu mereka dapat mula bersekolah hari ini. Segala persiapan telah dibuat sejak awal lagi, cuma pakaian sekolah dibeli pada saat akhir menunggu keputusan mukta­mad sekolah kembali dibuka.

“Sebagai ibu bapa, kami risau juga keadaan mereka di sekolah semasa pandemik ini tetapi kami sudah membekalkan mereka dengan cecair penyahkuman dan pelitup muka selain berharap cikgu dapat membantu mereka dalam kawasan sekolah,” katanya di sini semalam.

Bagi M. Nithiyah, 32, anak sulungnya, P. Thivyasree, 7, kelihatan gemuruh apabila terpaksa bersendirian melangkah ke kawasan sekolah tanpa ibu bapa.

“Dia nampak gelisah, jadi saya berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan serta guru di sekolah. Saya juga sudah mengingatkannya untuk menjaga keselamatan diri di sekolah dan hingga tamat sesi pembelajaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN