PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia mampu keluar daripada ‘perangkap’ berpendapatan sederhana yang mana tahap pendapatan tertentu dapat dicapai tetapi ekonomi tetap terbantut.
Perdana Menteri berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 4.6 peratus dalam tempoh dua dekad selepas krisis kewangan Asia yang sebelum itu pernah mencatat 8.4 peratus setahun.
Beliau berkata, pendapatan perkapita tahunan terhenti sekitar AS$10,000 hampir sedekad apabila pertumbuhan produktiviti tergendala sekali gus menunjukkan Malaysia terjerumus dalam perangkap berpendapatan sederhana.
Justeru, untuk mengatasi situasi itu, katanya, negara perlu menjadi pemain eksport global sebagaimana negara-negara lain berkembang dengan menghasilkan produk baharu dan bernilai tinggi untuk dieksport.
“Negara-negara lain menjadi kaya dengan belajar menghasilkan produk baharu bernilai lebih tinggi untuk dieksport. Oleh itu, amat penting para usahawan mempunyai cita-cita global untuk mendorong pertumbuhan ekonomi.
“Keduanya, Malaysia perlu mengembangkan keupayaan sektor pembuatan untuk meningkatkan pengeluaran produk yang semakin kompleks dan canggih. Berdasarkan Economic Complexity Index, peningkatan satu sisihan piawaian dapat meningkatkan pertumbuhan KDNK Malaysia antara 0.7 peratus dan 1.6 peratus setahun,” katanya ketika berucap dalam Forum Ekonomi Belia secara maya, hari ini.
Muhyiddin berkata, antara langkah lain adalah Malaysia perlu mewujudkan lebih banyak syarikat multinasional (MNCs) sendiri kerana hasil pertumbuhan ekonomi adalah sangat tinggi.
Sebagai contoh, katanya, sebagaimana yang dilaporkan, syarikat gergasi global seperti Samsung dan Hyundai secara kolektif menaikkan 30 peratus KDNK Korea Selatan.
“Malaysia perlu meneruskan pendekatan ‘moon-shot’ yang mana objektifnya adalah mewujudkan syarikat domestik berdaya saing dalam perbatasan teknologi.
“Maka peranan peserta muda seperti dalam forum ini adalah penting dan Malaysia memerlukan anda semua untuk menjadi generasi berani dan membina generasi perusahaan inovatif akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE