Malaysia catat lebihan dagangan bulan ke-10 berturut-turut - Utusan Malaysia

Malaysia catat lebihan dagangan bulan ke-10 berturut-turut

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri untuk Februari 2021 menunjukkan Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan positif dua digit bagi import dan eksport selepas 12 bulan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia kekal pada paras tinggi, merekodkan peningkatan ketara 17.6 peratus kepada RM87.6 bilion, berbanding kenaikan 6.6 peratus Januari lalu.

Ujarnya, ini adalah pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi dalam tempoh 28 bulan.

“Peningkatan ini didorong oleh eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik berjumlah RM71.4 bilion menyumbang 81.6 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 10.4 peratus, sementara eksport semula bernilai RM16.1 bilion, meningkat 65 peratus tahun ke tahun.

“Import Malaysia pada Februari lalu berjumlah RM69.7 bilion, mencatat pertumbuhan kukuh dua digit 12.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu. Ini adalah pertumbuhan tahun ke tahun yang tertinggi sejak Julai 2018.

“Lebihan dagangan berjumlah RM17.9 bilion menjadikan ia lebihan dagangan bagi bulan ke-10 berturut-turut sejak Mei 2020. Jumlah dagangan yang bernilai RM157.3 bilion meningkat 15.4 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan peningkatan dalam eksport didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke China (RM3.4 bilion), Amerika Syarikat (RM2.1 bilion), Singapura (RM1.5 bilion), Hong Kong (RM1.3 bilion) dan Kesatuan Eropah (RM1.0 bilion).

Sementara itu, kenaikan import terutamanya dari China (RM6.2 bilion), Indonesia (RM1.1 bilion) dan Thailand (RM819.3 juta).

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (RM6.4 bilion); keluaran getah (RM4.4 bilion); keluaran petroleum (RM1.6 bilion); kimia dan bahan kimia (RM873.8 juta) dan barangan perkilangan logam (RM799.1 juta).

Selain itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (RM2.6 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (RM922.7 juta); kimia dan bahan kimia (RM856.2 juta) dan keluaran getah (RM846.3 juta).

Import bagi barangan modal meningkat 39 peratus atau RM2.1 bilion kepada RM7.6 bilion dan merangkumi 10.9 peratus daripada jumlah import.

Pada masa sama, barangan penggunaan (8.5 peratus daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 17.6 peratus daripada RM5 bilion pada Februari 2020 kepada RM5.9 bilion.

Sebaliknya, import bagi barangan perantaraan yang bernilai RM38.3 bilion atau 55 peratus daripada jumlah import, menurun sedikit 0.2 peratus tahun ke tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya