RAUB: Makan tengah hari bersama semua ahli keluarganya kelmarin dalam suasana girang menjadi pertemuan terakhir seorang pemuda dengan bapa, ibu serta dua adiknya yang maut dalam satu kemalangan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang kelmarin, pasangan suami isteri dan dua anak mereka adalah antara lima maut selepas kereta Chevrolet dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 334 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini.
Mangsa yang maut dalam kejadian itu pemandu kereta Chevrolet, Muhamad Fadzli Aming, 45, isterinya Nur Asyitah Abu Samah, 44, dan dua anak mereka, Muhammad Iqmal, 13, dan Irina Nur Qhalesya, 7, serta seorang penumpang pacuan empat roda Toyota Hilux, Wan Syahrul Munif Wan Jaffar, 44.
Kemalangan itu menyebabkan Muhamad Haiqal, 21, dan adik ketiganya, Muhamad Iqfal, 8, kehilangan empat orang tersayang sekelip mata.
Muhamad Haiqal berkata, semasa kejadian, ibu dan bapanya serta dua adiknya dalam perjalanan ke Bentong bagi merawat seekor kucing mereka yang sakit di sebuah klinik haiwan.
“Tidak ada apa-apa tanda cuma hari itu saya balik awal dan kami semua makan bersama dan ayah serta ibu dan adik-adik begitu girang dan berbual dengan gembira masa makan.
“Kejadian ini amat mengejutkan, walau apapun keadaan saya tidak akan berpisah dengan satu-satunya adik yang masih ada, saya akan menjaganya sepenuh hati,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengkebumian di Tanah Perkuburan Sega di sini semalam.
Jenazah empat beranak berkenaan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sega kira-kira pukul 1.30 petang semalam dalam satu liang lahad.
Dalam pada itu, adik ipar mangsa, Haslinda Kamaruzaman, 48, berkata, kali terakhir dia serta suaminya bertemu mangsa ialah ketika bertandang ke rumahnya minggu lalu.
Katanya, dalam pertemuan itu allahyarham Muhammad Fadzli menyatakan harapannya supaya dia dan suaminya menjaga anak-anaknya.
“Dalam pertemuan terakhir itu dia cakap kalau ada apa-apa berlaku padanya, Ngah lah yang akan tolong dan saya akan terus menjaga kedua-dua anak Allahyarham sebaik mungkin.
“Saya juga berasa sedih kerana tidak sempat menghantar kerepek yang saya buat untuknya,” ujarnya. – UTUSAN