Majlis tunang tetap diteruskan - Utusan Malaysia

Majlis tunang tetap diteruskan

SEBUAH kediaman yang hangus dalam kebakaran kira-kira satu jam sebelum majlis pertunangan dianjurkan di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong di Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Majlis pertunangan seorang operator bersama pasangannya tetap diteruskan meskipun rumah pusaka keluarganya yang berusia 100 tahun musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong di sini hari ini.

Menurut mangsa, Nur Hidayah Jahurin, 20, majlis pertunangan bersama pasangannya, Mohd. Sahril Sairian, 30, diadakan di rumah saudaranya yang terletak bersebelahan rumah keluarganya.

“Kami buat ala kadar sahaja hanya sarung cincin kerana semua barang musnah termasuk pelamin, barang hantaran, makanan untuk tetamu pun turut hangus.

“Besar sungguh ujian buat kami sekeluarga, apa pun kami reda dan insya-Allah mungkin Allah nak bagi rezeki yang lebih baik untuk kami nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nur Hidayah berkata, kejadian itu berlaku kira-kira sejam sebelum majlis sebenar berlangsung dan ketika kejadian dia sedang bersiap untuk menunggu detik bahagia.

Katanya, ketika dia sedang bersolek tiba-tiba dia terdengar bunyi tetamu kecoh memberitahu ada kepulan asap tebal sebelum api marak menyambar pelamin tunang.

“Saya dengar orang cakap ada asap-asap, saya ingatkan asap dari dapur, tetapi bila keluar api dah marak.

“Tak sempat nak selamatkan apa-apa, dokumen penting pun tak sempat selamat, masing-masing keluar selamatkan diri,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, bapanya, Jahurin Tukiran, 54, pengsan selepas terkejut dengan kejadian itu manakala saudaranya berusia 32 tahun cedera akibat terkena serpihan kaca.

Nur Hidayah yang bekerja sebagai operator dan pasangan pula seorang peniaga merancang untuk mengadakan majlis itu sejak November tahun lalu.

Majlis sepatutnya diadakan lebih awal namun kerana penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka terpaksa tangguhkan sehingga ke hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya