Lima ahli Geng Adi Bee ditahan - Utusan Malaysia

Lima ahli Geng Adi Bee ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan lima ahli Geng Adi Bee termasuk sepasang suami isteri selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan ragut di sekitar Lembah Klang pada 17 Februari lalu.

Kesemua individu berusia 24 tahun hingga 35 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang menerusi Op Rentap.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan mendapati modus operandi kumpulan tersebut adalah melakukan jenayah ragut di kawasan perumahan dan perindustrian di sekitar Lembah Klang sejak 2019.

Katanya, kumpulan itu dipercayai bergerak secara berkumpulan meragut menggunakan motosikal dengan menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

“Barang hasil kegiatan ragut itu dijual oleh suspek wanita kepada seorang lelaki yang bertindak sebagai ejen untuk menjual kepada individu lain di luar Lembah Klang sebelum hasil jualan barangan itu dibahagikan dalam kalangan ahli kumpulan terbabit.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada suspek yang meragut dan orang tengah yang menjual barang hasil ragut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Daerah Sentul, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, semakan mendapati semua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah dan kes dadah.

Ujarnya, polis turut merampas tiga telefon bimbit, dua cermin mata, lima jam tangan, beberapa barang kemas, sebuah motosikal Yamaha 135LC dan wang tunai sebanyak RM10,111 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM15,000.

“Dengan tangkapan ini, kita menyelesaikan 11 kes ragut di kawasan Kepong dan beberapa kes lain di sekitar Lembah Klang.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan supaya dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ragut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes jenayah di daerah ini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Bilik Gerakan IPD Sentul (03-40482206) atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya