JOHOR BAHRU: Dibelenggu masalah keluarga menjadi alasan seorang lelaki nekad terjun dari Jambatan Permas dari Jalan Pantai menghala ke Permas Jaya, di sini petang semalam.
Bagaimanapun, niat lelaki berusia 39 tahun itu untuk ‘mencabut’ nyawanya sendiri tidak kesampaian setelah dia diselamatkan orang awam daripada lemas di sungai tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, polis menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu kira-kira pukul 7 malam yang memerlukan bantuan pihaknya.
“Semasa kejadian suspek telah terjun ke dalam sungai dari atas jambatan tersebut untuk cuba membunuh diri tetapi tidak berjaya apabila diselamatkan oleh orang awam yang berada di kawasan kejadian.
“Hasil soal siasat ke atas isteri dan ahli keluarga mangsa mendapati punca kejadian adalah disebabkan oleh masalah keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Padzli berkata, mangsa kini dirawat di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana masalah jantung, air berlebihan dalam badan dan masih tidak sedarkan diri.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE