GOMBAK : Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit dengan kegiatan samun rantai emas di Taman Ehsan, Selayang pada 5 Mac lalu.
Suspek berusia 58 tahun itu ditahan di Taman Putra, Ampang pada Khamis lalu susulan laporan yang dibuat mangsa berusia 57 tahun.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa mendakwa didatangi dua lelaki kira-kira 6.40 petang pada 5 Mac lalu yang memperkenal diri sebagai juruteknik penyelenggara penghawa dingin.
Kata beliau, mangsa kemudian mempelawa lelaki itu masuk ke dalam rumahnya sebelum suspek menarik rantai emas miliknya hingga dia jatuh.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai sepuluh rekod jenayah dan dia direman enam hari hingga Rabu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
“Usaha memburu seorang lagi suspek dikenali S Sarwana Baharthi Raja, 54, sedang giat dilakukan dan orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE