Lelaki, ibu mentua maut dalam nahas dua kenderaan - Utusan Malaysia

Lelaki, ibu mentua maut dalam nahas dua kenderaan

KEADAAN kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Batu 4, Jalan Jelebu, Seremban malam semalam. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki dan ibu mentuanya maut dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 4, Jalan Jelebu dekat sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, kejadian di hadapan sebuah kilang perabot itu melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah Proton Iswara dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Berdasarkan siasatan, katanya, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dari arah Jalan Pantai menuju ke arah Seremban bersama empat penumpang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Mangsa melanggar bahagian hadapan Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun bersama seorang penumpang berusia 40 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Said, akibat pelanggaran itu, kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan masing-masing.

“Dua mangsa iaitu pemandu Proton Iswara dan seorang penumpang di bahagian belakang sebelah kiri kenderaan tersebut iaitu ibu mentuanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Penumpang lain dalam kenderaan berkenaan termasuk seorang wanita berusia 29 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki India berumur empat tahun yang merupakan isteri dan anak kepada pemandu berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan serta kaki,” katanya.

Tambahnya, pemanduToyota Hilux pula mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepala manakala penumpangnya mengalami kecederaan di bahagian kaki.

“Kesemua mangsa yang tersepit dikeluarkan pasukan bomba. Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar bagi menerima rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya