PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah akan bertindak tegas tanpa kompromi termasuk pengusiran terhadap warga asing yang berada dalam Sabah secara haram.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, berdasarkan rekod dari tahun 1990 hingga bulan ini, seramai lebih 600,000 pendatang tanpa izin (PTI), terutamanya dari Filipina dan Indonesia telah diusir keluar Sabah.
Kata beliau, ini termasuk hampir 7,000 orang yang diusir sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Negeri Sabah yang baharu di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kerajaan Negeri Sabah menegaskan bahawa semua warga asing yang berhasrat untuk berada di negeri itu perlu melalui proses imigresen yang sah dan mematuhi lunas perundangan yang ditetapkan.
“Dokumen perjalanan warga asing yang sah adalah amat penting pada ketika ini bagi menjayakan inisiatif kerajaan mengekang pandemik Covid-19 melalui pemberian suntikan vaksinasi kepada semua pihak, termasuk warga asing yang terlibat dalam sektor ekonomi dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah dan delegasi kementerian mengadakan kunjungan hormat ke negeri itu hari ini dan bertemu dengan Ketua Menteri yang berlangsung di Pejabat Ketua Menteri Sabah, Kota Kinabalu.
Kunjungan hormat itu antaranya membincangkan isu-isu keselamatan dalam negeri dan kedaulatan negeri Sabah, terutamanya berhubung masalah PTI yang menjadi kebimbangan rakyat Sabah.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan, Kerajaan Negeri Sabah juga meluluskan peruntukan khas sebanyak RM500,000 bagi memantapkan pengoperasian di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) selepas lawatan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini.
“Kementerian melalui semua agensi serta jabatan di bawahnya akan terus memperkasakan aset-aset keselamatan negara serta dasar-dasar kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terjamin,” katanya. – UTUSAN