Lebih 300 kes ragut selesai, saki baki Geng Ayoi Gombak ditahan - Utusan Malaysia

Lebih 300 kes ragut selesai, saki baki Geng Ayoi Gombak ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saki baki Geng Ayoi Gombak yang dipercayai terlibat dalam sindiket ragut rantai dan gelang emas diberkas dalam serbuan berasingan di Shah Alam dan Hulu Kelang, Selangor, Isnin lalu.

Pada mulanya, satu tangkapan dilakukan kira-kira pukul 9 malam melibatkan seorang lelaki dikenali sebagai Angah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, suspek berusia 35 tahun itu dipercayai berperanan sebagai ‘ulat emas’ dan tukang lebur barang kemas hasil ragut.

Kata beliau, hasil soal siasat ke atas suspek, polis kemudian menyerbu sebuah premis perniagaan membeli emas di Hulu Kelang kira-kira pukul 10 malam sebelum bertindak menahan pemilik serta seorang pekerja berusia 29 tahun dan 33 tahun.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati mereka tiada kaitan dengan geng itu dan dibebaskan dengan jaminan polis

“Hasil pemeriksaan, kita merampas pelbagai peralatan melebur emas; 37 rantai, gelang, cincin dan loket emas; 13 rantai, gelang dan cincin perak, enam serpihan emas serta enam jam tangan mewah.

“Kita turut merampas sejumlah wang tunai dan sebuah kereta Mercedes Benz dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.2 juta,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Mengulas mengenai modus operandi suspek, Saiful Azly memberitahu, Angah yang berperanan sebagai ‘ulat emas’ membeli barang kemas hasil ragut dengan harga RM190 satu gram dan melebur sendiri barang kemas di premis membeli emas berkenaan.

Kata beliau, dianggarkan 400 hingga 500 gram dileburkan suspek sebelum dijual semula kepada suspek kedua yang berperanan sebagai pembeli dengan harga RM216 satu gram.

“Pembeli membuat bayaran secara tunai kepada suspek antara RM50,000 hingga RM70,000 untuk setiap kali pembayaran,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berikutan penahanan tersebut, polis menahan kesemua ahli Geng Ayoi Gombak sekali gus melumpuhkan sindiket ragut rantai dan gelang emas yang berleluasa di ibu negara sejak lebih setahun lalu.

“Keseluruhan tangkapan terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand berusia antara 29 tahun hingga 35 tahun.

“Tiga suspek diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan sedang ditahan reman mengikut Seksyen 4(1)(a) akta sama,” katanya.

Kata beliau, dua suspek yang baru ditangkap sedang direman dan akan dikenakan tindakan mengikut POCA manakala tiga lagi termasuk lelaki warga Thailand dibebaskan dengan jaminan polis.

“Sekurang-kurangnya lebih 300 kes ragut rantai dan gelang emas di ibu negara sepanjang tahun lalu dan tahun ini membabitkan kerugian mencecah RM900,000 diselesaikan,” katanya.

Pada 26 Januari lalu, polis menahan seorang peniaga ayam goreng serta seorang peniaga vape yang dipercayai mendalangi ratusan kegiatan ragut barang kemas di sekitar ibu negara.

Susulan penahanan itu, dua lagi suspek yang dikenali Angah dan Bobie diburu.

Difahamkan, Bobie yang berusia 30 tahun juga sudah ditahan, baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya