Kursus pasca perkahwinan wajar dilaksanakan - Utusan Malaysia

Kursus pasca perkahwinan wajar dilaksanakan

RINA Harun (tiga dari kanan) berbual dengan petugas wanita PTP sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhasrat mewujudkan kursus pasca perkahwinan dalam usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, penganjuran kursus tersebut dilihat wajar dilaksanakan berikutan banyak laporan berkaitan isu rumah tangga termasuk keganasan terhadap pasangan.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang melihat kewajaran bagi mewajibkan kursus tersebut kepada semua pasangan suami isteri tanpa mengira latar belakang dan agama.

“Kementerian melihat kewajaran perkara ini supaya ada kursus tertentu diadakan dalam tempoh pasangan melayar bahtera perkahwinan, sebagai contoh kemahiran keibubapaan.

“Bagi pasangan beragama Islam yang mahu berkahwin, mereka wajib hadir kursus pra perkahwinan tetapi tidak ada kursus selepas sudah berkahwin. Itu yang perlu kita jaga dan kursus itu cipertimbangkan meliputi semua bangsa.

“Maka kementerian akan melihat perkara ini supaya ada kursus tertentu yang diwajibkan untuk diadakan,” katanya dalam, sidang akhbar selepas menyempurnakan program Female Employee Referral sempena Hari Wanita Sedunia di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini, hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Marco Neelsen.

Ketika diminta mengulas nasib dua beradik yang kematian ibu akibat dibunuh bapanya sendiri dalam kejadian di Kota Tinggi baru-baru ini, Rina berkata, pihaknya akan memastikan kebajikan kanak-kanak itu terbela.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapatkan perintah mahkamah bagi memutuskan hak penjagaan dua beradik berusia tiga dan empat tahun itu.

Semalam akhbar melaporkan pembunuhan mangsa berusia 38 tahun maut akibat ditembak oleh suaminya berusia 43 tahun menggunakan senapang angin dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu dipercayai bermotifkan cemburu.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Rina berkata, kementerian akan mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan khusus buat wanita di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Kata beliau, kementerian akan menjalin kerjasama dengan beberapa lagi syarikat swasta bagi mencapai hasrat tersebut yang sehingga kini dianggarkan kira-kira 10 buah syarikat terlibat dalam kolaborasi tersebut yang menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

“Kolaborasi strategik bersama syarikat swasta ini adalah inisiatif kementerian bagi membantu golongan wanita yang kehilangan pekerjaan dan terjejas semasa negara dilanda pandemik Covid-19.

“Peranan kementerian sebagai pemudah cara menguar-uarkan pekerjaan yang dikhususkan buat wanita. Sudah sampai masanya kita memberi bantuan bagi jangka masa panjang dan bukannya memberi bantuan secara one-off sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya