PETALING JAYA: Tiga pekerja pembinaan disahkan maut, manakala seorang lagi cedera apabila sebuah kren ‘launcher’ digunakan dalam projek pembinaan lebuh raya di Persiaran Alam Damai di sini, jatuh dan menghempap sebuah kenderaan sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, insiden itu membabitkan empat mangsa terdiri tiga pekerja pembinaan warga China dan seorang awam.
Pemaju bagi projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu.
Kata kenyataan itu, kejadian itu difahamkan berlaku apabila salah satu dari komponen kren gantri terjatuh dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.
Sementara itu, Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Khairul Azmi Jaafar berkata, pada mulanya kren ‘launcher’ itu jatuh dan menghempap sebuah kereta Perodua Bezza menyebabkan pemandu seorang warga tempatan parah.
“Tiga lagi mangsa adalah pekerja projek pembinaan dengan dua mangsa dipercayai jatuh dari ketinggian 120 kaki (36.5 meter) dan disahkan meninggal dunia.
“Seorang lagi mangsa masih tersangkut di landasan pembinaan lebuh raya. Kerja penyelamatan mangsa sedang dijalankan oleh anggota bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sebanyak 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Razak, BBP Hang Tuah dan BBP Cheras ke lokasi. – UTUSAN ONLINE