HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperkenalkan kaedah penguatkuasaan prihatin sebagai inisiatif baharu dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada golongan peniaga.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kaedah penguatkuasaan baharu itu lebih berimbang dengan menggabungkan soal hemah dan legalistik berbanding tindakan tegas dikenakan sebelum ini.
Katanya, golongan peniaga yang disasarkan ialah perniagaan kecil seperti premis terbuka, bermusim, gerai sementara dan premis di kawasan pedalaman.
“Penguatkuasaan prihatin ini dapat memberi peluang kepada peniaga berkenaan untuk memperbaiki kesalahan dan mematuhi peruntukan perundangan ditetapkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Ia diguna pakai bagi kesalahan bersifat kecil termasuk berkaitan penandaan harga barang dan caj perkhidmatan, penentusahan alat timbang dan sukat, jualan murah di samping jualan barang kawalan,” katanya selepas melancarkan penguatkuasaan prihatin di Pasar Bukit Diman, di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalannya, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Dalam perkembangan lain, Alexander berkata, pihaknya sedang mempertimbang untuk membuka pejabat cawangan KPDNHEP Hulu Terengganu di Pusat Dagangan Ajil (ATC) bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan. – UTUSAN ONLINE