Konsep hak riparian memihak kepada Kedah - Utusan Malaysia

Konsep hak riparian memihak kepada Kedah

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Konsep hak riparian yang digunakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mempertahan keputusan mereka untuk tidak membayar sebarang caj bagi penggunaan air mentah yang mengalir dari Kedah mungkin memakan diri apabila kerajaan negeri pula kini mendakwa perkara itu sebenarnya menyebelahi mereka.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sekiranya konsep itu diambil kira, Pulau Pinang hanya berhak menggunakan kira-kira lima peratus daripada keseluruhan air mentah yang mengalir dari Kedah melalui Sungai Muda.

Katanya, penetapan itu bersandarkan kepada pelaksanaan konsep hak riparian diguna pakai di peringkat antarabangsa yang mana hak penggunaan bekalan air secara percuma oleh sesebuah negara atau negeri, bergantung kepada keluasan kawasan tadahan air mereka yang membentuk lembangan sungai.

“Pada masa sekarang, Pulau Pinang menggunakan air sebanyak 1,200 juta liter sehari (mld) manakala negeri ini cuma 780 mld. Mereka gunakan air yang mengalir dari Kedah ini lebih banyak daripada kita sendiri secara percuma.

“Jika merujuk beberapa kes di Australia dan Kanada, semua negeri dalam Persekutuan negara itu membayar yuran penyenggaraan kepada negeri yang memiliki kawasan tadahan air. Ibaratnya di Kedah inilah yang memiliki kawasan tadahan air di Ulu Muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, dapatan tersebut dibentangkan oleh beberapa pakar yang menganggotai panel pakar pengurusan sumber dan industri bekalan air negeri Kedah dipengerusikannya, semalam.

Katanya, panel tersebut dianggotai mereka yang berkelayakan terdiri daripada bekas ketua pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), pemilik firma konsultan air, pensyarah, ahli kimia, sejarawan serta pensyarah universiti tempatan.

Muhammad Sanusi berkata, penubuhan panel tersebut adalah bukti keseriusan Kedah membuat tuntutan itu dengan beliau sendiri tidak akan berhenti bercakap mengenainya selagi Pulau Pinang tidak membuat bayaran.

“Hak riparian ini juga ada kena mengena dengan persempadanan sungai di kerana konsep itu tidak lagi terpakai sekiranya lokasi penggunaan air telah terpisah daripada laluan sungai tersebut.

“Itu bermakna hak riparian ini mungkin terpakai di Seberang Perai dan kawasan sekitar laluan Sungai Muda mengalir tetapi tidak terpakai di bahagian pulau negeri itu kerana telah dipisahkan laut. Ini perlu difahami serta dipertimbangkan dan kalau nak buat tak faham juga, susahlah,” katanya.

Beliau menjelaskan, kesemua dapatan itu bersama beberapa perkara lain akan dihantar kepada kesemua pihak terlibat termasuk Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya