JOHOR BAHRU: Ketegasan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempertahan dan melindungi kesucian agama Islam terutama dalam isu kalimah Allah yang timbul semula baru-baru ini disanjung ramai pihak.
Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Hussin berkata, tanggungjawab Sultan Ibrahim terhadap isu-isu agama melegakan rakyat negeri ini khususnya yang beragama Islam kerana baginda memainkan peranan sebagai ketua agama yang tegas.
“Saya bagi pihak Pas Johor sendiri menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim dan merasakan sangat teruja dengan ketegasan Tuanku dalam soal memelihara agama serta dalam perkara yang berdepan kesucian Islam.
“Kita sentiasa mendoakan agar pemerintahan dan kepimpinan Tuanku di negeri Johor akan terus berada di bawah naungan perlindungan dan rahmat Allah SWT untuk baginda terus memayungi bukan sahaja orang Islam, malah keseluruhan rakyat jelata,” katanya.
Jumaat lalu, Sultan Johor menitahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk mengambil tindakan sewajar nya bagi menyokong kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan berhubung isu kalimah Allah yang ditegaskan baginda sebagai eksklusif kepada umat Islam.
Sultan Ibrahim turut berkenan menerima mengadap seorang rakyat negeri ini, Illi Najwa Anuar Hussein Saddique bagi menyelesaikan kontroversi selepas wanita itu berkahwin dengan kapten pasukan hoki India, Manpreet Singh Pawar tahun lalu.
Sementara itu, Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, rakyat negeri ini bertuah memiliki sultan yang berjiwa rakyat, sentiasa berpandangan jauh dan akan memberikan titah nasihat berguna kepada perjalanan pentadbiran dan politik Johor.
“Tuanku sentiasa menitik beratkan soal perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor yang berbilang kaum malah tidak pernah berhenti memikirkan kebajikan rakyat.
“Malah, dalam mendepani Covid-19, Sultan Ibrahim memberikan kurniaan barangan keperluan makanan dan sumbangan peribadi bagi meringankan beban rakyat yang membuktikan Tuanku sentiasa cakna dan prihatin nasib rakyatnya,” katanya. -UTUSAN