PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kes sembuh melebihi 2,000 kes iaitu sebanyak 2,506 kes sekali gus mengatasi kes positif iaitu 1,683 kes.
Sebanyak lapan kluster dan tiga kematian direkodkan manakala kes aktif menunjukkan penurunan kes apabila mencatatkan 20,333 kes berbanding semalam, 21,159 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 174 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 81 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, Selangor terus merekodkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 746 kes diikuti Sarawak, 201 kes; Pulau Pinang, 172 kes; Johor, 158 kes dan Kuala Lumpur, 125 kes.
“Baki negeri hanya merekodkan kes dua angka manakala Labuan, lapan kes; Melaka, tiga kes dan Putrajaya, dua kes.
“Bagaimanapun, Perlis membuat kejutan apabila melaporkan sebanyak 24 kes baharu iaitu 13 kes melibatkan Kluster DTI Persiaran Wawasan dan 11 kes daripada sebuah pusat tahanan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, tiga kes kematian melibatkan warga tempatan iaitu dua kes di Selangor dan satu kes di Pahang.
“Semua kes adalah warga emas melibatkan seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 78 hingga 85 tahun.
“Mereka mempunyai pelbagai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung, rheumatoid arthritis dan buah pinggang,” katanya.
Mengulas mengenai lapan kluster, beliau berkata, ia melibatkan lima kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster berkaitan pusat tahanan dan satu kluster berkaitan komuniti.
Lima kluster tempat kerja katanya, Kluster Kemuning Enam di Klang, Selangor, 44 kes dari 123 individu yang disaring; Kluster Jalan Sungai di Hulu Langat, Selangor, enam kes dari 108 individu yang disaring serta Kluster Industri Inanam di Kota Kinabalu, Sabah, 20 kes dari 139 individu yang disaring.
“Kluster Jalan Industri Tiga di Pontian, Johor, 19 kes dari 198 individu yang disaring dan Kluster Tapak Bina Jalan Satu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, 13 kes dari 50 individu yang disaring.
“Bagi kluster pusat tahanan, Kluster Jalan Awang di Sibu, Sarawak, 42 kes dari 43 individu yang disaring dan Kluster DTI Persiaran Wawasan di Kangar, Perlis, 14 kes dari 32 individu yang disaring,” katanya.
Tambahnya, Kluster Kiba adalah kluster komuniti di Sibu, Sarawak, seramai 92 individu yang disaring, di mana 33 kes dikesan positif. – UTUSAN ONLINE