Kes ingkar SOP turun balik semalam - Ismail Sabri

Kes ingkar SOP turun balik semalam – Ismail Sabri

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam turun semula setelah naik sehari sebelumnya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 223 individu ditahan semalam berbanding 369 individu diberkas kelmarin dan 242 individu dicekup pada Rabu lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 216 dikompaun dan baki tujuh lagi direman dengan kes tertinggi ialah gagal sedia alat rekod butiran diri sebanyak 155,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ini diikuti tiada memakai pelitup muka (70), rentas kawasan tanpa izin (47), tidak patuh jarak fizikal (24), aktiviti pusat hiburan (17) dan pelbagai lagi kesalahan ingkar yang lain (10).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 68,516 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,721 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, seramai 16,463 anggota itu memantau sebanyak 6,726 pasar raya, 6,277 restoran, 4,103 penjaja, 3,322 bank, 2,329 kilang selain 929 buah pejabat kerajaan.

Turut dipantau pasukan berkenaan ialah sejumlah 3,620 terminal pengangkutan darat, 1,836 terminal pengangkutan air dan 1,032 terminal pengangkutan udara di seluruh negara.

Seramai 51 pendatang asing tanpa izin dan empat tekong ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung kes Covid-19.

“Lapan kenderaan darat dirampas selain 99 buah bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 264 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 47 dilaksanakan polis.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 80 operasi sanitasi awam juga dilakukan di negara ini semalam yang meliputi 26 zon merah, lima zon jingga, 11 zon kuning dan satu zon hijau.

Ia katanya, melibatkan penugasan 450 anggota bomba, 195anggota pihak berkuasa tempatan dan 34 lagi dari pelbagai agensi serta dibantu dengan penggunaan 51 buah jentera bomba.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,428 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,708 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 80 buah hotel serta 10 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 1,017 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 134,155 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 553 peruncit, 163 pemborong dan 31 pengilang.

Penguat kuasa kementerian tersebut kata Ismail Sabri, juga melakukan sejumlah 2,022 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya enam premis yang diberi nasihat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya