Kerajaan tetap nilai kompaun ikut kesalahan elak rakyat keliru

Kerajaan tetap nilai kompaun ikut kesalahan elak rakyat keliru

TAKIYUDDIN Hassan (kiri) dan Azlan Man (kanan) pada majlis taklimat Jawatan Kuasa Pengurusan Darurat Covid-19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar, Perlis hari ini. - FOTO/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan akan menetapkan nilai kompaun mengikut jenis-jenis kesalahan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, sekali gus mampu mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung tindakan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu, Jawatankuasa Pengurusan Darurat Covid-19 akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan mengenai isu tersebut.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan memberi jaminan akan menyelesaikan perkara berbangkit mengenai soal pelaksanaan tindakan tersebut termasuk berhubung pengeluaran saman terhadap individu yang melakukan kesalahan.

“Kita akan mengadakan mesyuarat esok dan berbincang bagi menyenaraikan jenis-jenis kesalahan dan nilai kompaun maksimum mengikut kesalahan tersebut. 

“Misalnya, kesalahan tidak memakai pelitup muka selepas diberi amaran namun masih ada  yang degil berapa nilai kompaun yang boleh dikenakan dan begitu juga kesalahan lain. Kalau tidak mahu bayar kompaun, mereka boleh buat pilihan pergi ke mahkamah bagi mengemukakan rayuan.

“Tindakan kompaun bukan menjadi tujuan kerajaan untuk mengenakan hukuman semata-mata sebaliknya denda atau penalti yang ditetapkan oleh undang-undang atau ordinan itu adalah sebagai langkah pencegahan dan pengajaran agar pelanggaran SOP Covid-19 itu tidak berleluasa,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan dan taklimat Jawatan Kuasa Pengurusan Darurat Covid-19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan baru-baru ini, individu yang melanggar SOP ditetapkan boleh dikompaun sehingga RM10,000.

Tambah Takiyuddin, memandangkan ketidakpatuhan SOP sepanjang tempoh pandemik Covid-19 masih banyak berlaku menyebabkan kerajaan membuat keputusan meningkatkan jumlah kompaun daripada RM1,000 kepada tidak melebihi RM10,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Ramai masih tidak jelas, bukan dikompaun RM10,000 tetapi tidak melebihi RM10,000 bergantung kepada tahap kesalahan.

“Kalau kesalahan kecil atau biasa umpama tidak memakai pelitup muka, tidak mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera atau sebagainya itu bukan kesalahan yang boleh dikompaun sehingga RM10,000. Banyak lagi kesalahan lain yang lebih besar.

“Ketegasan undang-undang perlu ada dan dalam masa sama turut ada budi bicara dengan dua perkara tersebut diseimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin memberitahu, kerajaan Persekutuan menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri dan rakyat Perlis yang berjaya mencapai tahap pematuhan SOP yang baik.

Beliau difahamkan, 98 peratus rakyat di negeri ini mematuhi SOP Covid-19 malah pencapaian itu lebih baik daripada peringkat nasional.

“Pencapaian ini diharap dapat dipertahankan kerana kita mahu dalam tempoh darurat ini jangkitan Covid-19 semakin menurun dan dapat ditangani secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya