Kerajaan mahu tambah bilangan Tabika Perpaduan di seluruh negara

Kerajaan mahu tambah bilangan Tabika Perpaduan di seluruh negara

HALIMAH Mohamed Sadique (tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada kanak-kanak yang menerima bantuan persekolahan di Kota Tinggi, Johor. - FOTO/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Perpaduan Negara berhasrat untuk menambah bilangan Tabika Perpaduan di seluruh negara dalam usaha untuk memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan rakyat dari usia kecil.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pertambahan jumlah Tabika Perpaduan penting kerana ia merupakan satu platform terbaik dalam melaksanakan matlamat berkenaan.

Jelasnya, jumlah Tabika Perpaduan sedia ada ketika ini 1,781 buah masih tidak mencukupi.

“Tabika Perpaduan berlainan dengan Tadika Kemas, di mana Tabika Perpaduan diwujudkan di kawasan perbandaran dengan hasrat untuk mengintegrasikan masyarakat pelbagai kaum dari usia kecil.

“Kita mahu rakyat Malaysia daripada berbilang kaum bukan sahaja mengenali satu sama lain, tetapi juga saling mengetahui dan menghormati sesama mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Kepada Pelajar-Pelajar di sini hari ini.

Seramai 35,238 kanak-kanak berusia antara 5 dan 6 tahun kini mengikuti pembelajaran asas di kesemua 1,781 Tabika Perpaduan seluruh negara dengan Perlis, Melaka dan Putrajaya antara negeri yang mempunyai jumlah Tabika Perpaduan sedikit.

Tambah Halimah, pihaknya kini sedang melakukan bancian bagi melihat keperluan penambahan Tabika Perpaduan itu di semua negeri dalam Malaysia.

“Jabatan Perpaduan di setiap negeri akan melakukan bancian terlebih dahulu dan mereka akan meneliti lokasi yang bersesuaian untuk menambah bilangan Tabika Perpaduan pada masa akan datang,” ujarnya.

Halimah berkata, bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan di Tabika Perpaduan, kementeriannya telah mengambil beberapa inisiatif termasuklah memperkenalkan dua subjek baharu.

“Dua subjek berkenaan adalah subjek pengurusan kendiri iaitu bagaimana mendidik anak-anak mengemas barang peribadi mereka dan subjek bahasa.

“Subjek bahasa itu membabitkan Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil asas, ini bersesuaian dengan persekitaran masyarakat majmuk di negara ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menambah, tenaga pengajar akan dipastikan memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak selain mengikuti kursus lanjutan dari semasa ke semasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN