Keluasan tanaman nanas negara ditambah kepada 20,000 hektar

Keluasan tanaman nanas negara ditambah kepada 20,000 hektar

RONALD Kiandee (berdiri, empat dari kiri) menyampaikan insentif kepada seorang pengusaha nanas di Laman Nanas, Serdang, Selangor semalam. - IHSAN KEMENTERIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bakal meningkatkan keluasan tanaman nanas di seluruh negara daripada 16,653 hektar ketika ini kepada 20,000 hektar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, usaha itu akan direalisasikan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 mulai tahun ini hingga 2025.

“Pertambahan ini juga bagi menampung trend permintaan tinggi varieti premium MD2 bukan sahaja untuk pasaran eksport, malahan permintaan besar pembeli dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Pengusaha Nanas di Laman Nanas, Serdang, Selangor, semalam.

Penyampaian insentif tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan nilai peruntukan yang diterima oleh pihak LPNM sebanyak RM13 juta di bawah dana pakej baharu berkenaan.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, nanas merupakan tanaman dikategorikan kerajaan sebagai sumber kekayaan baharu negara susulan permintaan tinggi terutama pasaran eksport global.

“Buat masa ini, kapasiti nanas negara ialah 400,000 tan bernilai lebih RM500 juta setahun, namun jumlah ini masih belum cukup untuk pasaran MD2 di 20 buah negara dan juga tempatan.

“Saya yakin bahawa sektor nanas tempatan akan terus berdaya maju seiring dengan situasi semasa dunia dalam proses pemulihan pasca pemvaksinan Covid-19,” katanya lagi.

Bahkan beliau optimis eksport nanas terus berkembang lima peratus setahun kerana negara pernah mencatatkan RM490 juta bagi 2019 berbanding RM343 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Ronald berkata, terdapat perkembangan positif cadangan mewujudkan LPNM di Sabah bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan meluaskan penanaman nanas negara.

Menurutnya, ia susulan kunjungan rasmi beliau terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Mohd. Noor serta Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffery Kitingan.

“Beberapa perkara penting telah dibincang dalam pertemuan itu untuk terus bekerjasama bagi memastikan pembangunan sektor pertanian dan menjamin keselamatan makanan negara.

“Ini suatu perkembangan positif bagi industri nanas dan tindakan lanjut sedang diambil oleh pihak kementerian saya bagi merealisasikan cadangan ini dalam masa terdekat,” kata Ronald. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN