ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri komited untuk menyediakan lebih banyak kediaman mampu milik buat kesejahteraan rakyat negeri ini pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, perkara itu merupakan agenda utama kerajaan negeri di bawah Teras Kesejahteraan Rakyat.
“Kita sedang menggerakkan pelbagai usaha untuk menjayakan program ini.
“Kita juga akan mencari pelbagai inisiatif baharu bagi meningkatkan lagi pembinaan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Pengundian Terbuka RMBJ yang diadakan secara atas talian di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Dalam program berkenaan, sebanyak 41 unit RMBJ Jenis C di Taman Mutiara Perdana, Simpang Kanan, dan 148 unit RMBJ Jenis C di Taman Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah di Batu Pahat diserahkan kepada pengundi yang layak. -UTUSAN ONLINE










