JOHOR BAHRU: Sebanyak 13,807 unit rumah kediaman akan dibangunkan di Johor sepanjang tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, langkah itu dibuat bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, antara projek perumahan yang dilaksanakan itu termasuklah kediaman mampu milik yang disasarkan untuk golongan B40 dan M40.
“Antara projek ini ialah Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) di mana sejumlah 4,111 unit telah disasarkan dan dijangka siap pada tahun ini yang dijual dengan harga RM42,000, RM80,000, RM130,000 dan RM150,000.
“Lain-lain projek rumah mampu milik yang akan dibangunkan termasuklah Rumah Mesra Rakyat Johor, Rumah Ihsan Makmur Johor, Program Perumahan Rakyat (PPR), Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) serta Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA),” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Tambah Ayub, pihaknya berharap agar pelbagai projek melibatkan kediaman yang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini dapat dibangunkan dengan jayanya.
“Inisiatif ini bagi membolehkan lebih ramai rakyat dan penduduk Johor untuk memiliki kediaman yang bukan sahaja selesa, tetapi juga kondusif,” ujarnya. – UTUSAN