KUALA LUMPUR: Bintang dangdut terkenal, Sheeda, mensyukuri nikmat pemberian rezeki Allah apabila di saat ekonomi negara agak merundum dia tetap dapat menjalankan aktiviti berniaga secara skala kecil dengan menjual nasi minyak dan pelbagai menu lain.
Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Angkat Kaki itu, aktiviti kerjaya seninya banyak tertangguh dan dibatalkan dan sebagai pengganti mata pencarian, Sheeda bermula dengan menu kegemaran anak-anak.
“Sejujurnya masa di awal pandemik saya tiada persediaan. Tetapi sampai bila nak bergantung pada duit simpanan semata-mata sahaja. Jadi, anak-anak bagi idea mungkin boleh mulakan dengan menu kesukaan mereka iaitu nasi minyak dulu.
“Alhamdulillah ramai yang respons suka dan repeat order untuk rumah-rumah kebajikan, malahan ada dapat tempahan dari klinik dan cawangannya. Lama-kelamaan saya masak menu lain pula seperti nasi tomato, bihun dan rendang, malah yang terkini Chocojiwa.
“Semua ini kerja sekeluarga sebagai satu pasukan. Pendek kata daripada suka-suka sekarang ini tak cukup tangan dan perlukan pekerja. Terima kasih kepada yang menyokong perniagaan saya,” kata kepada Utusan Malaysia.
Tambah Sheeda, dia tidak malu dengan perniagaan kecil-kecillannya dan tidak hanya mahu bergantung kepada bantuan kerajaan. Dia sedar, usaha dan komitmen adalah kunci kejayaan yang telah lama dipraktiskan.
“Jangan malu, kalau ikuti Instagram saya, tak pernah mengeluh. Ini semua takdir kita, tak boleh salahkan pada situasi yang menimpa sekarang. Dalam al-Quran pun dah nyatakan pada akhir zaman pelbagai wabak akan timbul,” katanya.
Dalam perkembangan seni, ibu kepada penyanyi Bienda itu memberitahu, dia sudah mula menerima tempahan persembahan pentas dan menasihatkan kepada anak muda hari ini terutamanya penggiat seni supaya beringat sebelum pendapatan terjejas.
“Jangan kejar populariti sahaja tetapi tanam sikap suka menabung untuk masa depan dan beli rumah terlebih dahulu sebagai tempat tinggal dan kereta untuk kemudahan bergerak,” nasihatnya.