Jangan hukum Sajat dengan kata kesat - Utusan Malaysia

Jangan hukum Sajat dengan kata kesat

MOHD. Kazim Elias semasa bersiaran di Radio MBI di Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Warganet dinasihatkan tidak menghukum usahawan kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman dengan kata-kata kesat dan berbaur kecaman.

Perbuatan tersebut tidak betul selain boleh memberikan tafsiran tidak elok terhadap agama Islam menerusi kaca mata pihak lain sedangkan hakikatnya tidak begitu.

Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, kelakuan warga maya seperti memaki-hamun dan mencemuh termasuk mendoakan neraka sangat keterlaluan.

Sebaliknya, menurut beliau, sebagai orang Islam yang bersaudara hendaklah perlu ada perasaan sayang-menyayangi antara satu sama lain dengan mendoakan yang baik-baik agar Muhammad Sajjad diberikan hidayah suatu hari nanti.

“Bukanlah hak kita untuk menghukum orang walaupun sesiapa sahaja kerana kita adalah dai’ yang mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan dakwah.

“Tegurlah dia dengan berhikmah kerana kita juga tidak tahu bagaimana pengakhiran kita nanti, hendaknya kita juga diberikan hidayah,” katanya selepas bersiaran menerusi Radio Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Selasa lalu, Muhammad Sajjad menerusi sebuah video tular dalam media sosial menyatakan hasrat secara terbuka untuk keluar daripada agama Islam.

Video berdurasi 1 minit 45 saat itu memaparkan luahannya yang seakan-akan mahu menukar agama selepas mendakwa kecewa dengan tindakan orang di sekeliling termasuk dengan apa yang berlaku kepadanya.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesan Sajadd bagi melaksanakan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa lalu.

Dalam perkembangan lain, Ustaz Kazim kini memilih menggunakan media sosial seperti Facebook serta platform rancangan hiburan dan seni untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih meluas.

Ketika ini beliau sedang berkerjasama dengan beberapa penerbit bagi menghasilkan kandungan-kandungan rancangan tertentu yang bakal disiarkan menerusi kaca televisyen.

Menurut Ustaz Kazim, beliau juga akan merakamkan sebuah lagi lagu bersama seorang penyanyi dalam masa terdekat sempena Ramadan nanti.

“Sebelum ini saya pernah menyumbang suara untuk lagu Salawat 1442 yang diterbitkan sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun lalu bersama dua penyanyi rap, Tuju dan Tyco,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya