Jambatan Sungai Pulai hubungkan JB-Pontian 15 minit - Utusan Malaysia

Jambatan Sungai Pulai hubungkan JB-Pontian 15 minit

HASNI Mohammad (tengah) melancarkan projek Taman Perbadanan Islam Pontian secara maya di Kota Iskandar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Projek pembinaan Jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah, di sini dengan Tanjung Bin di Pontian dijangka siap menjelang Oktober tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, jambatan sepanjang 7.5 kilometer itu memendekkan masa perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian dari satu jam kepada 15 minit.

Jelas beliau, projek berkenaan juga akan menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi setempat khususnya di daerah Pontian.

”Pembangunan Pontian dijangka lebih pesat apabila kerja pembinaan Jambatan Sungai Pulai sepanjang 7.5 km yang menghubungkan Gelang Patah ke Tanjung Bin, Pontian siap pada Oktober tahun depan.

“Dengan adanya jambatan itu, perjalanan dari Pontian ke Johor Bahru yang memakan masa satu jam akan dipendekkan menjadi 15 minit sahaja apabila Jambatan Sungai Pulai itu siap kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa melancarkan Projek Taman Perbadanan Islam (TPI) Pontian yang diadakan secara maya di Kota Iskandar dan disaksikan di tapak projek di Pontian, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil dan Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn. Bhd., Datuk Ramlee A. Rahman.

Projek TPI Pontian membabitkan 427 unit Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) pelbagai kategori di kawasan seluas 14.56 hektar.

Sementara itu, berhubung projek TPI berkenaan, ujar Hasni, kerajaan negeri menerusi PIJ Holdings akan menanggung kos guaman perjanjian jual beli antara pemaju dan pembeli kediaman yang akan dibina di TPI Pontian.

“Projek ini meliputi RMBJ jenis A sebanyak 46 unit berharga RM42,000; RMBJ jenis B (64 unit) berharga RM80,000 dan RMBJ jenis C (57 unit) berharga RM150,000.

“Turut dibina rumah teres dua tingkat sederhana sebanyak 254 unit berharga RM290,000 serta kedai kos sederhana sebanyak enam unit,” katanya.

Beliau berkata, projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dan PIJ Holdings akan bertindak sebagai agensi pelaksana serta pengurus projek.

Tambahnya, daerah Pontian yang meliputi kawasan seluas 91,943 ekar dan mempunyai 11 mukim dilihat sebagai sebuah daerah yang penting dalam perancangan pembangunan negeri Johor. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya