KUANTAN: Institut pengajian tinggi (IPT) disaran menyantuni pelajar khususnya golongan orang kurang upaya (OKU) dengan menyediakan akses bersesuaian termasuk kemudahan dan perkhidmatan yang sedia ada dalam usaha menjaga hal ehwal mereka.
Ketua Unit Kelainan Upaya, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr. Ruzita Mohd. Amin berkata, kualiti hidup mereka perlu dimantapkan agar tidak terpinggir dengan mewujudkan persekitaran yang mesra pengguna.
“Ini termasuklah pembentukan program pembangunan diri pelajar OKU ke arah laluan kerjaya masa hadapan yang lebih terjamin Terdapat beberapa kategori OKU termasuk pendengaran, penglihatan, fizikal, masalah pembelajaran, pertuturan, mental dan juga pelbagai.
“Justeru itu, pelaksanaan Dasar Inklusif OKU yang bertujuan mewujudkan infrastruktur mesra OKU, budaya komuniti prihatin dan pembelajaran dan kehidupan yang lebih kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada pemberita pada program Siri Bicara Cendekiawan Mulia Kali Ke-13 anjuran Pusat Sains Kemanusiaan (PSK) di Dewan Bankuet, Canseleri, Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut Rozita, pengalaman sebagai OKU juga memberikannya semangat dan inspirasi untuk membantu golongan yang sering terpinggir dan berdepan halangan sikap, fizikal, berkomunikasi dan sistem dalam sesebuah organisasi.
“Walaupun dilahirkan sempurna, seseorang itu tidak mustahil bergelar OKU. Untuk itu, kita perlu memastikan golongan ini dapat disantuni dengan baik demi kesejahteraan dan kebahagiaan bersama.
“Saya akur dengan takdir Ilahi apabila diserang demam sehingga mendapat penyakit polio menyebabkan saya lumpuh kekal sejak kecil,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, sebagai sokongan dalam memberi perkhidmatan kepada OKU, UMP mewujudkan Unit Perkhidmatan OKU UMP (OKUMP) dengan menyediakan kampus yang inklusif dan kondusif.
Katanya, sebanyak RM50,000 disediakan untuk dimanfaatkan golongan itu dalam menjalankan aktiviti menerusi Tabung OKU di bawah Yayasan UMP.
“UMP mempunyai pengalaman menerima pelajar OKU sekali gus telah menilai setiap keperluan dan isu berkaitan keperluan golongan ini.
“Salah satu agenda kesejahteraan warga kampus dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025 yang memfokuskan kesihatan dan keselamatan warga akan turut memberi tumpuan terhadap golongan OKU di universiti ini.
“Selari dengan slogan UMP iaitu Teknologi Untuk Masyarakat, UMP juga bakal melihat isu golongan OKU dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.- UTUSAN ONLINE