JOHOR BAHRU: Seorang Inspektor dan dua anggota polis dari dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menjual dan memeras ugut berkaitan kes dadah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang Inspektor pada pukul 7 malam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Selasa lalu.
Beliau berkata, Inspektor yang bertugas di IPD Johor Bahru Utara itu ditahan bagi membantu siasatan disyaki menjalankan aktiviti menjual semula rampasan dadah yang dilakukan kepada sindiket dadah untuk tujuan peribadi.
“Dadah itu dijual kepada sindiket untuk dipasarkan ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, pihaknya kemudian menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza serta wang tunai RM1,200.
Inspektor berusia 31 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
Sementara itu, dalam kes kedua, dua anggota berpangkat Sub Inspektor dan Koperal masing-masing berusia 59 dan 35 tahun yang bertugas di IPD Muar, Khamis lalu pula ditahan.
Katanya, kedua-dua anggota itu ditahan selepas disyaki melakukan pemerasan ke atas individu yang ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu di sekitar kawasan Parit Jawa, Muar dekat sini.
“Dua pegawai rendah itu meminta RM3,000 sebagai wang pelindungan bagi melindungi kegiatan dadah tersebut.
“Bagaimanapun, suspek hanya menerima wang daripada individu berkenaan sebanyak RM2,800,” katanya.
Tegasnya, kedua-dua suspek ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanan Keseksaan berakhir semalam sebelum diberi jaminan polis.- UTUSAN