SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mahu kes melibatkan Iki Putra Mubarak yang dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii terus disiasat oleh polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya telah mengadakan Mesyuarat Khas semalam bagi membincangkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut dan menegaskan bahawa perkara itu tidak sama sekali boleh dilihat sebagai suatu bentuk pengiktirafan terhadap golongan lesbian, biseksual, gay dan transgender (LGBT) sama ada oleh mahkamah mahupun MAIS.
Katanya, ini kerana perbuatan persetubuhan sejenis atau di luar tabii adalah tetap suatu kesalahan yang amat serius di sisi agama Islam yang bercanggah dengan ajaran Islam, akhlak, moral dan norma kehidupan masyarakat di negara ini.
“Kita menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu berhubung dengan petisyen di bawah Artikel 4(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan yang difailkan oleh Iki Putra Mubarak, seorang lelaki beragama Islam yang telah dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii di bawah Seksyen 28 yang dibaca bersama dengan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (1995).
“Isu yang dibawa ke hadapan Mahkamah Persekutuan adalah berhubung dengan interpretasi, kesahan dan kesan penggubalan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki, Iki Putra Mubarak terhadap Seksyen 28 EJSS Selangor 1995 dan sekaligus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.
Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor.
Oleh kerana tidak berpuas hati dengan pertuduhan ini, Iki Putra telah mencabar peruntukan Seksyen 28 EJSS 1995 dengan mendakwa negeri atau mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.
Dalam pada itu, Abdul Aziz menambah, keputusan Mahkamah Persekutuan itu juga sama sekali tidak menafikan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri untuk membuat undang-undang berhubung dengan kesalahan yang bertentangan dengan ajaran Islam, namun ia hendaklah selaras dengan peruntukan Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.
“Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya telah menyatakan bahawa pihak Dewan Undangan Negeri masih boleh terus menggubal undang-undang kesalahan syariah yang meliputi perkara-perkara berikut kesalahan melibatkan akidah; kesucian agama Islam dan berkaitan moral.
“Oleh demikian, MAIS akan terus mendokong prinsip-prinsip kesalahan syariah seperti yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan EJSS,” katanya. – UTUSAN ONLINE