MUAR: Meskipun tanpa lesen jualan yang sah, seorang peniaga berani menyimpan ribuan paket baja bagi tujuan menjual secara pukal kepada pemborong di sebuah stor bangunan perniagaan di Bukit Pasir, di sini.
Bagaimanapun, aktiviti haram yang dijalankan sejak lebih dua tahun itu dihidu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Muar sebelum menjalankan serbuan di lokasi berkenaan.
Ketua cawangannya, Rizq Fazliana Abd. Hamid berkata, serbuan pada pukul 11 pagi semalam merampas sebanyak 78,485 kilogram baja kawalan yang disimpan di stor berkenaan.
“Hasil daripada serbuan mendapati bangunan kedai dijadikan stor tempat menyimpan baja kawalan dan menjual secara borong tanpa memiliki lesen menjual yang sah.
“Serbuan itu menyaksikan rampasan sebanyak 78,485 kilogram baja kawalan dianggarkan bernilai RM203,226 termasuk merampas sebuah lori 20 tan bernilai RM35,000.
“Seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 30 tahun ditahan untuk diambil rakaman percakapan dan siasatan lanjut yang disyaki ada kaitan dengan kes ini,” katanya kepada pemberita di Pejabat Cawangan Muar, di sini, hari ini.
Rizq Fazliana berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tidak mempunyai lesen borong yang sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda yang mana bagi suatu pertubuhan perbadanan, denda tidak lebih RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.
“Bagi individu pula boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak lebih RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan baja kawalan secara borong tanpa lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia boleh menyalurkan maklumat kepada pihak KPDNHEP. – UTUSAN ONLINE