PUTRAJAYA: Salah seorang Hakim Mahkamah Rayuan di sini, semalam menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang membatalkan saman pemulanya berkaitan kes liwatnya membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Hakim Datuk Kamaludin Md. Said yang mengetuai panel tiga hakim bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin memutuskan demikian selepas peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram menimbulkan isu berkenaan pada awal prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.
Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili kerajaan dan peguam, Harvinder Singh Sidhu yang hadir mewakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku pencelah dalam kes itu tidak mengemukakan sebarang bantahan dan menyerahkan perkara tersebut kepada mahkamah.
“Kes ini (saman pemula) sepatutnya didengar oleh saya sewaktu di peringkat Mahkamah Tinggi sebelum ia dipindahkan ke hadapan mahkamah yang lain. Saya juga sempat meminta Peguam Kanan Persekutuan ketika itu untuk memfailkan afidavit bagi pihak kerajaan pada ketika itu.
“Oleh itu, saya akan menarik diri daripada mendengar kes ini,” katanya sebelum mahkamah berhenti bersidang.
Pihak-pihak kemudian menghadiri prosiding pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Nik Serene Nik Hasim yang kemudian menetapkan pendengaran rayuan tersebut ditetapkan pada 23 Jun ini.
Selain kes membabitkan saman pemula itu, Hakim Kamaludin juga pernah menarik diri daripada mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyennya bagi sabitan meliwat di peringkat Mahkamah Tinggi.
Beliau yang pernah menjadi Peguam Kanan Persekutuan dan Timbalan Pendakwa Raya juga pernah terlibat dalam kes membabitkan Anwar termasuk kes liwat membabitkan Ahli Parlimen Port Dickson itu dengan beberapa individu sekitar tahun 90an.
Menurut saman pemula Anwar yang difailkan pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan Malaysia, beliau mendakwa tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuannya berhubung sabitan kes liwat terhadapnya.
Sehubungan itu, Anwar memohon satu deklarasi bahawa sabitan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 ultra vires atau melangkaui kekuasaan Perlembagaan Persekutuan dan terbatal serta tidak sah.
Beliau juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu ultra vires dan oleh yang demikian, adalah terbatal serta tidak sah.
Bagaimanapun, Anwar telah mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.
Pada 8 November 2017, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula Anwar selepas memutuskan bahawa kesnya tidak mempunyai asas dan sebarang bukti sebagai sokongan.
Muhammad Shafee dibenarkan untuk mencelah dalam prosiding rayuan tersebut kerana intipati tuntutan dalam saman pemula Anwar adalah mengenai dakwaan bayaran RM9.5 juta kepadanya yang dibuat oleh bekas Pegawai Tugas Khas Peguam Negara, Siti Rahayu Mohd Mumazaini.
Siti Rahayu memfailkan afidavit menyatakan bahawa maklumat baharu yang diperoleh mendakwa sejumlah RM9.5 juta telah dibayar kepada Muhammad Shafee daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara 2013 dan 2014. – UTUSAN ONLINE