‘Gerobok Rezeki’ bantu pelajar miskin - Utusan Malaysia

‘Gerobok Rezeki’ bantu pelajar miskin

RAZAK Malek Taharim (kiri) dan Adura Mohamed menyusan barangan makanan ke dalam Gerobok Rezeki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh di Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Terkesan mengetahui pelajarnya tiada wang untuk membeli makanan di kantin, seorang guru mewujudkan ‘gerobok rezeki’ bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.

Menariknya, inisiatif itu bukan sahaja terbatas kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh di sini, malah sumbangan berupa barangan keperluan asas turut disalurkan kepada keluarga mereka.

Penolong Kanan Kokurikulum sekolah itu, Adura Mohamed, 54, berkata, inisiatif itu diambil setelah melihat beberapa pelajar di dalam kelasnya tidak keluar ke kantin membeli makanan semasa waktu rehat, sebaliknya memilih untuk tidur atau berbual.

Katanya, ketika ditanya, mereka memberi alasan sudah bersarapan di rumah dan makan apabila pulang dari sekolah.

“Saya faham yang mereka sebenarnya tiada wang walaupun hanya untuk membeli roti. Jadi, saya berasakan pihak sekolah perlu lakukan sesuatu untuk membantu bukan sahaja pelajar tetapi keluarga mereka.

“Setelah perbincangan dilakukan dengan pihak sekolah, kami akhirnya mengadakan program Gerobok Rezeki yang mula dilaksanakan sejak 4 Februari lalu,” katanya ketika ditemui di SMK Kampong Pasir Puteh, semalam.

Menurut Adura, dua almari berisi barangan makanan asas seperti beras, kicap, gula, susu, bihun, sardin dan tepung itu diletakkan di hadapan surau sekolah.

Katanya, ibu bapa pelajar boleh mendapatkan barang tersebut secara percuma pada bila-bila masa dan diambil sekadar diperlukan.

“Inisiatif ini bermula dengan modal RM5,000 hasil sumbangan beberapa pihak. Setiap minggu kita menambah stok barang makanan asas itu dengan nilai antara RM350 ke RM400.

“Sejak dilancarkan, 25 keluarga termasuk pekerja di sekolah ini mendapat manfaat apabila menerima pek berisi barang makanan selain mereka boleh terus ke sekolah untuk mengambil bantuan dari Gerobok Rezeki ini,” katanya.

Tambah guru bahasa English itu, dia dan pihak sekolah merancang mempelbagaikan barang makanan termasuk telur dan sayur kubis.

“Menerusi inisiatif ini, kami mahu pelajar tahu, jika mereka tiada makanan di rumah, datanglah ke sekolah. Kami sentiasa memberi sokongan dan mahu membantu mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Kampong Pasir Puteh, Razak Malek Taharim berkata, pemberian pek barang makanan itu dilakukan secara berfasa dengan mengambil kira pendapatan keluarga pelajar.

“Pengagihan bantuan itu dilakukan secara bersasar dengan merujuk kepada pangkalan data pelajar. Kami mahu semua pelajar menerima bantuan khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan menyalurkan sumbangan boleh menghubungi pihak sekolah di talian 05-3225150. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN