GUA MUSANG: Empat sekeluarga masyarakat Orang Asli di Kampung Char, Pos Hendrop di sini mengalami kerugian lebih RM10,000 selepas 1,000 batang pokok pisang yang mengeluarkan hasil enam bulan lalu dimusnahkan sekumpulan gajah liar.
Seorang pekebun, Jemau Alang, 53, berkata, selain pisang, ribuan pokok ubi, kelapa dan pinang yang ditanam di kawasan seluas lapan hektar itu dimusnahkan sejak seminggu lalu.
Katanya, ini adalah kali pertama dia berdepan serangan gajah sejak mereka mengusahakan kebun di kawasan itu tiga tahun lalu.
“Kejadian terbaharu disedari kami pada pukul 7 pagi semalam apabila gajah berkenaan kembali merosakkan tanaman pisang.
“Kami bimbang jika keadaan berterusan menjejaskan sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Char hari ini.
Jemau berkata, mereka sekeluarga khuatir kumpulan gajah liar itu masih berada dalam hutan berhampiran dan mungkin keluar semula bagi memusnahkan kebunnya.
Katanya, dia menanam 5,000 pokok pisang di kawasan itu dan mula mengeluarkan hasil sejak enam bulan lalu.
“Masih ada lagi 4,000 batang pokok pisang jenis berangan dan kebatu yang akan dipasarkan ke Bandar Gua Musang, kami bimbang serangan gajah liar itu berulang jika tiada tindakan untuk menangkapnya.
“Kami mengambil pisang di kebun seminggu sekali dan mampu memperoleh pendapatan antara RM600 hingga RM1,000. Kami bercadang melebarkan kawasan tanaman, namun ia mungkin terbantut ekoran masalah serangan gajah ini,” katanya.
Sementara itu, anak lelaki Jemau, Nozi, 30, pula berkata, dia tiada pekerjaan lain dan hanya bergantung kepada hasil tanaman untuk menanggung perbelanjaan keluarga.
Katanya, apabila berlaku kejadian itu, mereka rasa kecewa kerana hasil titik peluh dimusnahkan sekelip mata.
“Kami berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera menangkap kumpulan gajah berkenaan.
“Sekiranya haiwan bersaiz kecil seperti babi, kami boleh halau dengan membina pagar atau perangkap. Tetapi gajah terlalu besar dan sukar untuk kami sendiri menghalaunya,” katanya. – UTUSAN ONLINE