KOTA TINGGI: Seekor gajah betina dewasa ditemukan mati selepas dipercayai dilanggar beberapa buah kenderaan di Batu 7 Jalan Kota Tinggi-Mersing di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 11 malam, bangkai haiwan dalam kumpulan kawanan Gajah Panti yang terdiri daripada 30 hingga 40 ekor itu ditemui di tepi jalan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 12.15 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke tempat kejadian.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati gajah itu disyaki dilanggar kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan beberapa kenderaan lain termasuk sebuah lori treler.
“Bangkai gajah tersebut ditanam pagi ini. Perhilitan terus memantau saki-baki kumpulan gajah tersebut yang masih lagi berada di sekitar kawasan kemalangan,” katanya.
Menurut Salman, Jalan Kota Tinggi-Mersing adalah laluan lintasan gajah terutamanya di Batu 4 hingga Batu 14.
Kata beliau, demi keselamatan sebanyak 20 papan tanda amaran lintasan hidupan liar dipasang di sepanjang jalan itu untuk memberi peringatan kepada pemandu kenderaan.- UTUSAN