KEMAMAN: Enam pemancing yang dikhuatiri hilang di perairan Kemaman di sini selepas terputus hubungan sejak kelmarin, ditemukan selamat oleh nelayan Pahang hari ini.
Komander Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kesemua mangsa bersama bot mereka kini ditunda nelayan terbabit ke Kuantan, Pahang.
“Kita sudah berhubung dengan seorang mangsa yang memaklumkan bot mereka kini ditunda masuk ke Kuantan oleh bot nelayan Pahang.
“Saya dimaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rashidilhadi berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa memaklumkan bot mereka mengalami kerosakan kerana kipas enjin yang tercabut hingga menyebabkan kenderaan berkenaan hanyut.
“Bagaimanapun, kita masih lagi menunggu mereka sampai ke darat dan sedang mendapatkan lokasi bot berkenaan,” katanya.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang berada di Jeti Kuala Kemaman masing-masing dilihat mengalirkan air mata dan bersyukur dengan penemuan insan tersayang mereka. – UTUSAN ONLINE