PETALING JAYA: Peningkatan eksport minyak sawit ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) antara kerjasama pelaburan dan perdagangan yang dicapai Malaysia menerusi lawatan Perdana Menteri ke UAE.
Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, kerjasama lain turut dibincangkan dan dipersetujui adalah melibatkan kerjasama Petronas dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan pelaburan dalam sektor pendidikan negara.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan UAE menekankan kedua-dua negara harus menerokai dan mempertingkat kerjasama ekonomi dari semasa ke semasa.
“Insya-Allah sekembalinya ke Kuala Lumpur, saya bersama Jemaah Menteri akan membuat penelitian terperinci untuk mengenal pasti bidang dan sektor utama berpotensi menarik peniaga dan pelabur asing bagi meningkatkan ekonomi serta mampu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.
“Saya berdoa agar semua kerjasama ini dapat kita laksanakan segera dan semoga semuanya berjalan lancar seperti dirancang,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau semalam.
Pada 6 Mac lalu, Perdana Menteri memulakan lawatan rasmi selama enam hari ke Arab Saudi dan UAE. Lawatan rasmi Muhyiddin berakhir semalam.
Kelmarin, Muhyiddin mengumumkan Malaysia mendapat tambahan kuota haji sebanyak 10,000 lagi yang akan dilaksanakan selepas wabak Covid-19 terkawal dan Tanah Suci dibuka semula.
Perkara itu dipersetujui Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman di Istana Al Yamamah, Riyadh dalam pertemuan bersama Perdana Menteri.
Sementara itu, Perdana Menteri memberitahu, di Abu Dhabi beliau diterima menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed Bin Zayed Al Nahyan dan Timbalan Presiden merangkap Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Istana Zabeel.
“Pertemuan bersama dua pemimpin utama tersebut, saya sifatkan amat berjaya dan cukup berkesan dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala Malaysia dan UAE.
“Secara amnya, perbincangan yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara termasuk pelaburan dan perdagangan berjalan lancar sekali gus menterjemahkan semangat persahabatan antara Malaysia dan UAE,” katanya. – UTUSAN