KLUANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Cawangan Kluang menahan tekong dan awak-awak bot nelayan warga Vietnam kerana memberi rasuah.
Tangkapan dibuat selepas siasatan mendapati kedua-dua lelaki itu memberikan rasuah RM3,000.00 kepada anggota Polis Marin Wilayah 2 Mersing sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti menangkap gamat di perairan negara secara haram.
Suspek lelaki berusia 38 tahun dan 28 tahun ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Kluang kira-kira jam 10 pagi tadi bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Pengarah SPRM Johor, Dato’ Hj. Azmi Alias mengesahkan tangkapan tersebut.- UTUSAN