SEREMBAN: Polis kini sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung dua kes yang berlaku pada 2019 iaitu membabitkan penerbitan sebuah filem dan kes melibatkan kenderaan dilupuskan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd. Ghani berkata, kes pertama membabitkan seorang lelaki di Port Dickson yang menanggung kerugian selepas ditawar memberikan modal bagi menerbitkan sebuah filem tempatan.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat pada bulan September hingga Disember 2019 dan individu berkenaan turut diberikan jaminan filem berkenaan telah mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.
“Mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM84,000 ke dalam akaun sebuah syarikat. Bagaimanapun setelah dibuat semakan tiada sebarang produksi dijalankan, malah kerajaan negeri juga menafikan ada membuat kerjasama berkenaan.
“Sehubungan itu, bagi kes ini kami sedang mengesan Mohd. Indera Lasim, 42, yang beralamat di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aibee berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Mohd. Indera boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor M.Muraly di talian 016-7839535 atau di talian 06-6472222.
Sementara itu, kes kedua pula menurutnya, membabitkan seorang lelaki yang telah ditipu sebanyak RM7,600 bagi mendapatkan kenderaan yang dilupuskan iaitu lima buah Land Rover milik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 4, Cheras, Kuala Lumpur pada bulan Januari 2019.
“Bagi kes ini, kami mengesan Ku Azhar Ku Ibrahim, 48, yang beralamat di Taman Kota Perdana, Seri Kembangan, Selangor.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Amir Naim Muhammad Yusof di talian 017-5893462 atau 06-7682222,” katanya. – UTUSAN ONLINE