PUTRAJAYA: Mereka yang dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) akan diberi tawaran diskaun 50 peratus bermula pada hari ini jika dibayar dalam masa seminggu.
Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sambil menjelaskan beberapa kekeliruan mengenai isu itu.
“Sesiapa sudah dikenakan kompaun maksimum RM10,000 sejak kadar ini dilaksanakan 25 Februari lalu, mereka boleh dapat potongan mulai hari ini dalam tempoh tujuh hari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagi memaklumkan pengurangan kompaun untuk pelbagai jenis kesalahan SOP.
Ia berdasarkan Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau dirujuk Akta 342.
Undang-undang itu dipinda baru-baru ini ekoran pewartaan Ordinan Darurat pada 14 Januari lalu, sekali gus menyaksikan kadar kompaun maksimum RM1,000 dinaik kepada RM10,000.
Bagaimanapun ujar Takiyuddin, mesyuarat Kabinet hari ini meluluskan tawaran pengurangan kompaun tersebut yang melibatkan pindaan Seksyen 25 akta itu termasuk tawaran diskaun.
“Jika lebih seminggu hingga 14 hari, pesalah ini menikmati pengurangan cuma 25 peratus dan kalau lebih dua minggu, maka kena bayar kompaun mengikut kadar sepenuhnya,” kata beliau.
Namun bagi meringankan beban golongan B40 yang dikompaun kerana ingkar SOP, beliau memaklumkan bahawa kelompok itu boleh merayu dengan melampirkan dokumen sokongan.
Ini termasuk orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, pengemis dan pelajar dengan rayuan boleh dikemukakan kepada pegawai kesihatan yang diberi kuasa di setiap negeri atau daerah.
Antaranya ialah pengarah kesihatan negeri, timbalan pengarah kesihatan negeri bahagian kesihatan awam, pegawai kesihatan daerah dan pegawai kesihatan bahagian epidemiologi.
“Mereka yang hendak merayu itu, kena isi borang khas permohonan rayuan dan dokumen ini boleh diakses muat turun daripada laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan,” katanya.
Menyentuh jenis kesalahan, Kabinet bersetuju ada tiga kategori dengan pertama, yang boleh menyebabkan risiko penularan tinggi atau beri impak kepada komuniti pada skala besar.
Sementara kategori kedua, dianggap sederhana kerana tidak beri impak jangkitan kepada komuniti, manakala ketiga ialah jenis normal yang tiada kesan langsung penularan komuniti.
Justeru kata Takiyuddin, kadar maksimum kompaun juga adalah berbeza, malah ada cuma RM1,500 bagi individu kali pertama yang gagal memakai pelitup atau diimbas MySejahtera.
Ditanya kaedah pelaksanaan, beliau memaklumkan Team Penguatkuasaan Pelaksanaan SOP disertai polis, tentera, rela, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diwujudkan khusus.
“Saya jangka pasukan ini akan mula ada paling lewat 1 April ini kerana mereka akan pakai lilitan khas di lengan ketika melakukan rondaan dan ia mungkin ambil masa sikit,” katanya.
Dari segi penguatkuasaan, pasukan itu ujar beliau akan memantau pesalah sebelum diberi nasihat, teguran dan amaran sebelum kompaun dikeluarkan jika masih berdegil ingkar.
Langkah itu bagi memastikan masyarakat yang mungkin cuai melanggar SOP, akan segera akur kerana kompaun hanya bersifat pilihan terakhir sekiranya ada terus melawan arahan. – UTUSAN ONLINE