BUTTERWORTH: Seorang peniaga didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah memindahkan enam ekor babi secara tidak sah ke sebuah rumah penyembelihan menggunakan lori, tahun lalu.
Majistret Nurul Huda Idris menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Tan Hong Haw, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Hong Haw didakwa memindahkan enam ekor babi hidup dari Jalan Tingkat Selamat 9, Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini ke dalam kawasan rumah sembelihan babi di Tingkat Selamat 10.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan sebuah lori tanpa mendapat kebenaran bertulis Pengarah Veterinar negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pukul 12.15 tengah hari pada 29 Ogos 2020.
Hong Haw didakwa melakukan kesalahan itu di bawah perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) di bawah Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953.
Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM15,000 jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda manakala hasil jualan ternakan sebanyak RM1,200 dilucut hak dan menjadi hasil kerajaan. – UTUSAN ONLINE