Dera bayi, penganggur mengaku bersalah  - Utusan Malaysia

Dera bayi, penganggur mengaku bersalah 

MUHAMMAD Fakhri Abdul Muthalib, 25, mengaku bersalah mendera bayi lelaki berusia tujuh bulan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan mendera seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan. 

Muhammad Fakhri Abdul Muthalib, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Noor Aini Yusof selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. 

Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakhri sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap  bayi lelaki berusia tujuh bulan menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan lebam pada dahi, bawah mata dan perut. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di L-07-07, Pangsapuri Luminari, Jalan Harbour Place di sini, kira-kira pukul 9 malam pada 6 Mac lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan  jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Mahkamah menetapkan 16 April depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan mangsa selain membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 beserta seorang penjamin. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Utusan Malaysia pada 9 Mac lalu melaporkan seorang bayi dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan rakan  lelakinya yang merupakan kumpulan penagih dadah di sebuah rumah di Kuala Bekah, Teluk Air Tawar di sini. 

Kejadian itu disedari bapa bayi berkenaan yang tidak lagi tinggal sebumbung dengan wanita terbabit  sebelum menghantar bayi tersebut ke hospital dan membuat laporan polis berhubung kes itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya