Daftar automatik Undi18 selepas September 2022 - Utusan Malaysia

Daftar automatik Undi18 selepas September 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 tahun (Undi18) dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, ia setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

Beliau menjelaskan, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 sekali gus menjejaskan perancangan dan persiapan SPR.

“SPR komited dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 seperti yang diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

“SPR ingin menjelaskan bahawa persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya.

“Ini termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan persiapan lain yang berkaitan dengannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata, SPR sedang menyediakan satu laporan interim berhubung Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18 yang dijangka dikeluarkan pada September ini.

Menurut beliau, berdasarkan kepada rekod terkini SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang.

Katanya, daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta orang manakala 4.4 juta lagi adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih.

“SPR menyeru rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas ini untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos yang berdekatan.

“SPR akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui Portal SPR pada Ogos ini, bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya