ALOR SETAR: Perbezaan pandangan antara beberapa pihak dalam UMNO terutamanya melibatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini, belum sampai ke tahap krisis yang mampu memecah belahkan parti Melayu terbesar itu.
Sungguh pun begitu kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, langkah untuk mencari titik pertemuan kepada setiap perbezaan pandangan itu, tetap perlu dilakukan bagi mencari penyelesaian secara dalaman.
Katanya, meja rundingan seharusnya dibuka antara semua pihak terlibat agar masing-masing dapat memberi pandangan bagi dinilai secara rasional antara satu sama lain.
“Kita kena selesaikan isu yang dianggap boleh menyebabkan perpecahan secara profesional dan dalaman. Kalau kita gagal berbuat demikian, itu menunjukkan telah wujud bibit awal kepada krisis.
“Kalau setakat masing-masing beri pandangan, bermakna itu belum berlaku krisis dalam parti. Sebaiknya sebelum sampai ke tahap itu, kita duduk berunding mengenai apa sebenarnya dimahukan semua pihak serta mengapa mereka mengeluarkan hujah begitu dan begini” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan program Ceria Ke Sekolah peringkat negeri Kedah di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap, di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Ir. Nawawi Ahmad.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membantu pelajar memerlukan di seluruh negara dengan kos keseluruhan melebihi RM3 juta.
Mengulas lanjut katanya, setakat ini beliau yakin kalangan mereka yang tidak sependapat dalam UMNO masih terbuka untuk berunding secara baik bagi menyelesaikan segala perbezaan yang timbul.
“Kalau boleh bawa berunding, itu yang terbaik. Tetapi kalau dah tak boleh dibawa berunding, itu namanya krisis.
“Sekarang ini masing-masing ‘tepuk meja’ saja dan tiada lagi krisis. Tetapi kita perlu usaha selesaikan secara profesional dan dalaman,” katanya. – UTUSAN ONLINE