PELABUHAN KLANG: Nelayan Orang Asli di Jeti Orang Asli Pulau Indah, di sini kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab membuang pakaian di kawasan tersebut.
Pakaian terpakai dianggarkan sebanyak lima tan metrik itu dibuang di tepi sungai berhampiran jeti tersebut Jumaat lalu sebagai jalan mudah bagi melupuskannya.
Salah seorang nelayan asli, Napi anak Rahatan, 35, berkata, kejadian tersebut adalah yang pertama dan terkejut dengan lambakan pakaian di tebing jeti tersebut.
“Ketika kejadian, nelayan ada ternampak lori masuk ke kawasan jeti pada waktu malam dan membiarkan mereka masuk. Ini kerana beranggapan lori mahu menambak tebing kawasan tersebut kerana memang ada hakisan dan curam.
“Namun, apabila awal pagi kami terkejut apabila ternampak lambakan pakaian yang dibuang yang ditutup dengan kanvas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di jeti tersebut di sini hari ini.
Dalam pada itu, Napi berkata, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri ada datang untuk melihat keadaan tersebut.
“MPK mengatakan akan membersihkan kawasan tersebut dengan membawa tong untuk mengutip semua pakaian terpakai yang dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Namun, sebelum itu, kita telah membakar sedikit pakaian yang dibuang kerana bagi mengurangkan longgokan baju. Tetapi tidak meneruskannya kerana khuatir akan mengakibatkan kebakaran di kawasan jeti,” ujarnya.
Sementara itu, Azmizam berkata, pembuangan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu mengakibatkan kesemua pakaian itu hanyut ke sungai.
Jelasnya, kesemua pakaian itu akan dihanyutkan ke sungai dan mengalir ke laut sehingga menyebabkannya tersangkut pada kipas bot nelayan.
“Mereka yang melakukan ini mungkin mengambil jalan mudah untuk tidak membuang ke tapak pelupusan kerana mahu menjimatkan kos.
“Oleh demikian, kita telah menasihatkan Orang Asli di sini supaya tidak bersubahat dengan mana-mana individu dan sekiranya terdapat lagi lori cuba masuk segera laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE