PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan kewujudan ‘broker’ yang dilihat cuba memecah-belah perpaduan ahli dengan membuat pelbagai muslihat dan tipu daya sehingga boleh menyebabkan maruah parti itu tergadai.
Tanpa menyebut nama broker tersebut, beliau berkata, semua ahli sememangnya mengetahui dan menyedari mengenai perancangan pihak berkenaan.
“Seperti saudara saudari saya juga tahu dan sedar apa yang sedang ‘broker’ rancangkan. Muslihat serta tipu daya mereka, segala hipokrasi dan helah dalam pemantauan dan radar.
“Mereka ini tidak ramai, tetapi apa yang mereka mahu lakukan ke atas UMNO sangat tidak boleh diterima. UMNO tidak boleh digadai. UMNO bukan alat untuk tawar menawar jawatan atau kedudukan sesiapa,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Isu hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta PN kembali hangat selepas Ahmad Zahid sebelum ini menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyatakan kebersamaan parti itu dengan Bersatu dan PN hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Surat bertarikh 26 Februari yang dihantar kepada Muhyiddin itu memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk tidak bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Langkah itu menyebabkan beberapa pemimpin UMNO termasuk bergelar menteri dan ahli Parlimen tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan menyeru semua ahli, pejuang dan penyokong UMNO agar tidak terlalu bimbang kerana parti itu sama sekali tidak akan ‘melukut di tepi gantang’ hanya kerana hujah-hujah talam dua muka.
Tegasnya, UMNO parti milik rakyat dan jutaan ahlinya dan bukan milik mana-mana pihak untuk dijual beli.
“Insya-Allah selagi ada keringat dan bakti saya berjanji UMNO tetap dipertahankan. Saya berkata begini kerana saya membaca pandangan dan keluh kesah saudara saudari.
“Segelintir saudara saudari khuatir saya sebagai Presiden UMNO tidak ‘alert’ rancangan mereka. Sebenarnya saya ‘alert’.
“Tetapi demi keutuhan parti keramat bangsa dan agama saya mendepani cabaran ini secara berhemah. Keazaman, keyakinan dan jati diri UMNO saudari saudari menjadi azimat penguat semangat,” katanya. – UTUSAN ONLINE