Bin Zayed sasar bawa masuk FDI RM100 bilion - Utusan Malaysia

Bin Zayed sasar bawa masuk FDI RM100 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Syarikat konglomerat Abu Dhabi, Bin Zayed International LLC mensasarkan untuk membawa masuk pelaburan asing (FDI) bernilai RM100 bilion ke Malaysia untuk beberapa tahun akan datang.

Buat fasa permulaan ia membabitkan projek pembangunan Widad@Langkasuka di Pulau Langkawi, Kedah dengan kerjasama bersama Widad Business Group Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan Bin Zayed International LLC, Sheikh Midhat Kidwai berkata, pihaknya yakin bahawa projek itu akan menjadi salah satu projek ikonik Malaysia dengan mengangkat Pulau Langkawi ke peringkat global.

Jelas beliau, ia dapat membantu meningkatkan pemulihan ketara khususnya ekonomi Malaysia di samping mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan.

“Kami berikrar bahawa dengan hubungan kerjasama perniagaan ini, kedua-dua pihak berhasrat melabur lebih banyak dalam projek infrastruktur.

“Bermula Widad@Langkasuka, kami percaya pembabitan projek ini akan membawa lebih banyak FDI bernilai RM100 bilion untuk akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Widad Business Group Sdn. Bhd. dan Bin Zayed International LLC.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak bekerjasama bagi menyelaras dengan kerajaan negeri, perunding serta kontraktor berkaitan pembangunan infrastruktur dan pembinaan projek Widad@Langkasuka.

Perjanjian itu dimeterai oleh Pengarah Eksekutif Widad Business Group Sdn. Bhd., Datuk Dr Mohd. Rizal Mohd Jaafar manakala Bin Zayed International LLC diwakili Sheikh Midhat Kidwai.

Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Dalam pada itu, Bin Zayed International LLC dalam kenyataan itu memaklumkan pihaknya menerusi surat kepada Perdana Menteri melahirkan hasrat untuk melabur di negara ini melalui kerjasama dengan Widad Business Group Sdn. Bhd.

“Selepas beberapa mesyuarat produktif dan perbincangan lanjut, kedua-dua syarikat secara bersama amat berbangga untuk memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa kami bersetuju menubuhkan entiti kerjasama.

“Ia secara khususnya bagi pembangunan projek di Langkawi iaitu Widad@Langkasuka,” kata kenyataan itu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya